Skip to main content

UMNO DAHULU DAN SEKARANG - Tun Dr Mahathir Mohamad

Tun Dr Mahathir

"Kerana UMNO tidak lagi berjuang untuk bangsa, agama dan tanahair. UMNO ternampak dan memang pun benar, berjuang untuk kepentingan orang-orang tertentu dalamnya dan ahlinya sahaja." - Tun Dr Mahathir Mohamad

Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Kalau kan tidak ada yang mengoyakkan luka, mesti tak akan teruk jadinya.

Tun Dr. Mahathir menceritakan bagaimana Umno dahulu dilihat dan disanjung, dan bagaimana pula jika dilihat dengan Umno sekarang di laman sesawang beliau [Dr. Mahathir Mohamad] di bawah tajuk UMNO DAHULU DAN SEKARANG.

Saya tidak mahu mengubah apa-apa kerana takut maksud sebenar akan berubah, berikut ialah isi artikel tersebut;

Tun Dr Mahathir Blog


1. Pada 11hb. Mei 2013, UMNO merayakan hari penubuhannya yang ke 63 dengan sembahyang dan tahlil, ucapan bersemangat dari Presiden Najib Tun Razak dan majlis makan malam. Tetapi UMNO pada 2013 ini bukanlah sama dengan UMNO 1946.
2. Pada 1946, pengasas UMNO yang berkumpul di Johor Baru bersemangat untuk menyelamatkan bangsa Melayu dari kehilangan bangsa mereka, dari kehilangan tanahair mereka, dari menjadi rakyat sebuah tanah jajahan British dan hilangnya Melayu di dunia.
3. Perjuangan pemimpin dan ahli pengasas UMNO pada masa itu ialah untuk bangsa, agama dan tanahair. Tidak ada tujuan lain yang menggerakkan mereka, sudah tentu tidak ada kepentingan diri atau niat untuk jadi pembesar negara merdeka dengan upah yang lumayan.
4. Oleh kerana itu mereka dihormati, dialu-alukan dan disokong oleh hampir semua orang Melayu. Mereka adalah pejuang dan jaguh dan orang Melayu datang berduyun-duyun untuk menyertai parti UMNO yang ditubuh oleh mereka.
5. Maka bersatulah Melayu, tanpa mengambilkira pangkat dan darjat, tanpa mempedulikan berpelajaran Melayu, Inggeris atau agama. Mereka semua Melayu samada dari negeri-negeri yang berlainan, dengan raja yang berlainan, atau apa-apa lain yang membezakan mereka.
6. Dan berbaris padat dan rapatlah mereka untuk perjuangan yang suci, perjuangan untuk menyelamatkan bangsa mereka, agama mereka dan negara mereka. Mereka tidak takut, tidak gentar dalam menghadapi kuasa besar British.
7. Dan berjayalah mereka dengan menewaskan Malayan Union, usul satu penjajah terkemuka, satu dari pemenang perang besar dunia. Dan terdirilah negara bangsa Melayu yang merdeka yang dikenali secara rasminya Persekutuan Tanah Melayu. Nama Federation of Malaya ialah terjemahan kepada Bahasa Inggeris dan dianggap oleh orang Melayu sebagai bukan nama rasmi.
8. Itulah UMNO enampuluh lebih tahun dahulu. Mereka disanjung, didukung oleh semua yang berbangsa Melayu di negeri-negeri Melayu dan di mana-mana ada orang Melayu.
9. Tetapi tidak pada hari ini. Sekarang UMNO tidak lagi dipandang tinggi dan tidak lagi disokong seperti dahulu. Sesungguhnya ramai orang Melayu meluat dengan UMNO, anggapnya tidak lagi relevan dan perlu ditolak pun.
10. Kenapa?. Kerana UMNO tidak lagi berjuang untuk bangsa, agama dan tanahair. UMNO ternampak dan memang pun benar, berjuang untuk kepentingan orang-orang tertentu dalamnya dan ahlinya sahaja. UMNO berjuang untuk jawatan dan pangkat, untuk memperkayakan diri, untuk sagu hati, untuk poket sendiri.
11. Untuk ini mereka berusaha mengurangkan kemungkinan diri mereka dicabar, kurangkan kemungkinan diganti oleh sesiapa yang lebih layak. UMNO adalah hak ahlinya, hak pemimpinnya yang sedia ada dan bukan hak orang Melayu. Setelah mereka mendapat tempat jangan benar orang Melayu lain, terutama yang memiliki kebolehan tertentu, menyertai UMNO. UMNO adalah untuk pemimpin dan ahli semasa, dari ketua cawangan kepada ketua bahagian. UMNO tidak perlu tambahan ahli, tidak perlu penyertaan sesiapa lagi kerana ahli yang sedia ada perlu memelihara habuan mereka. Jika terlalu banyak ahli, habuan perlu dikongsi. Dan habuan yang dikongsi tentulah tidak sebanyak sebelum berkongsi.
12. Apa itu perjuangan untuk bangsa, agama dan tanahair! Bukankah yang sudah ada dalam UMNO, sebagai pemimpin atau ahli biasa terdiri dari bangsa Melayu, yang beragama Islam. Perjuangan untuk diri mereka bermakna perjuangan untuk bangsa mereka, bangsa Melayu, agama mereka, agama Islam. Oleh itu perjuangan untuk bangsa, agama dan negara sedang diteruskan, tanpa penyertaan Melayu lain.
13. Kesannya ialah hari ini ahli tidak bertambah selaras dengan pertumbuhan jumlah orang Melayu. Dan mereka terutama yang berkebolehan, yang berbakat tidak dibenar masuk UMNO lagi.
14. Yang boleh menyertai hanyalah yang kurang berkebolehan disbanding dengan yang sudah ada. Oleh kerana penyertaan dalam UMNO mestilah melalui cawangan, yang boleh masuk UMNO ialah yang kurang berkebolehan dari ketua cawangan.
15. Ketua cawangan manusia biasa yang boleh diserang  penyakit, bahkan boleh mati pun. Satu hari ketua cawangan terpaksa lepaskan jawatannya. Penggantinya tentulah orang yang memiliki kebolehan yang kurang darinya. Dengan itu kebolehan ketua cawangan akan merosot sepanjang masa, tiap kali pengganti mengambil alih.
16. Dan ini akan terjadi dalam keseluruhan parti. Semakin lama semakin kurang pemimpin UMNO yang berbakat. Semakin lama semakin kurang ahli yang berbakat dan layak untuk menjadi calon dalam PRU. Calon payung terjun yang berbakat akan dikalahkan.  Dengan itu pemimpin Kerajaan juga akan terdiri dari yang tidak berkebolehan.
17. Di mana pergi mereka yang berbakat ini?. Mereka pergi ke mana mereka di terima, tentunya parti lawan.
18. Melihat UMNO hanya berjuang untuk diri sendiri semata-mata, dan tidak lagi untuk bangsa, agama dan tanahair, orang Melayu tidak lagi nampak kenapa mereka harus sokong dan jayakan semasa PRU orang yang utamakan kepentingan diri sendiri sahaja. Jika ada sahaja parti lain, mereka akan sokong parti itu. Hanya jika parti lain lebih buruk baharulah sokongan kepada UMNO diteruskan. Inilah yang berlaku pada PRU 13.
19. Mungkin kita boleh tepuk belakang kerana UMNO masih menjadi parti yang menang terbanyak dalan PRU 13.  Tetapi ini bukan kerana orang Melayu masih sokong UMNO.  Sebenarnya kemenangan UMNO dalam PRU 13 disebabkan mereka tidak ada pilihan.  Mereka amat takut kalau-kalau Anwar Ibrahim menang bersama dengan DAP.  Akan hancurlah harapan orang Melayu sama sekali.  Seburuk-buruknya UMNO, ia masih berbau Melayu, masih lebih mungkin memelihara kepentingan orang Melayu.  Justeru itu tidak ada pilihan bagi orang Melayu jika tidak sokong UMNO.  Namun demikian dalam PRU 14 UMNO tidak boleh harap keadaan ini berterusan.  Jika UMNO tidak bersihkan dirinya dari rasuah dan kepentingan diri, orang Melayu mungkin mencari jaguh yang lain.
20. Demikianlah riwayat dan sejarah sebuah parti politik yang lupakan usul-asal dan sebabnya ia ditubuh. Demikianlah berakhirnya perjuangan yang lari jauh dari matlamat asalnya. Dahulu lain, sekarang lain.  Sejarah dan kecapaian dahulu tidak akan meraih sokongan selama-lamanya. Dahulu dahulu, sekarang sekarang. Hanya berharap kepada kata-kata hikmat Hang Tuah, “Tak akan Melayu hilang di dunia” tidak mencukupi. Mungkin Melayu tidak akan hilang di dunia, tetapi apakah jenis Melayu yang tidak hilang ini. Apakah mereka terdiri dari pencuci kasut, pemandu kereta, kuli yang terbongkok-bongkok menyembah bangsa lain yang menjadi Tuan mereka. Dan apakah nasib UMNO? Ia akan jadi cerita dongeng dalam buku kanak-kanak dizaman akan datang.
21. Inilah masa depan yang menunggu UMNO. Inilah masa depan sebuah parti yang cemerlang tetapi sudah hilang kegemilangannya. Inilah masa depan bagi yang tidak mahu sedar dan tidak mahu membetulkan diri.
22. Kata seorang penulis sajak di zaman dulu, “tidak ada yang lebih menyayat hati dari melihat bangsa ku dihina dan ditindas oleh orang”.

****

ps : Have anyone forgotten this ? "Merdeka!! Merdeka!! Merdeka!!" :D

Popular posts from this blog

Apa Itu GLC

Apa itu GLC ? GLC bermaksud Government Linked Company atau lebih tepat Syarikat Berkaitan/Milik Kerajaan


Maksud | Takrifan GLC


Maksud GLC ? GLC ditakrif sebagai syarikat yang mempunyai objektif komersil yang primer dan kepentingannya dikawal secara langsung oleh Kerajaan Malaysia. Mengawal kepentingan merujuk kepada keupayaan atau kuasa Kerajaan (bukan sekadar peratus pemilikan) untuk melantik anggota Lembaga Pengarah, pengurusan atasan dan membuat keputusan utama terhadap GLC (contohnya, pemberian kontrak, strategi, penstrukturan semula dan pembiayaan, pemerolehan serta pemberhentian pelaburan), sama ada secara langsung atau melalui Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).

Apakah syarikat yang dikategorikan sebagai Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC)?
Kategori syarikat berkaitan kerajaan ialah syarikat-syarikat yang berada di bawah kawalan Kerajaan Negeri dan agensi peringkat Negeri masing-masing. Syarikat yang berada di bawah kawalan lansung Kerajaan sebagai agensinya juga termasu…

Formula Pengiraan Sudut Segitiga [Basic]

1. Formula
2. Penerangan Formula
3. Penggunaan Formula

Line and Plane In 3-Dimension | Mathematics Form 4

1. Formula

Seperti yang korang nampak kat atas, tu ialah formula trigonometri versi BM dan versi BI. Ada banyak cara nak ingat formula tu, dan cara yang aku boleh syorkan ialah

Versi BM :   Saya Tak Hafal      Kalau Saya Hafal       Tentu Tak Susah
Versi BI :   Soh  Cah  Toa

Bagi tutorial ni, aku akan gunakan sepenuhnya versi BM.


2. Penerangan Formula
Di mana garisan Tentangan Sebelah dan Hipotenes ?

Ambil Tita (macam lapan tuh) sebagai sudut.

Garisan Tentangan ialah garisan yang bertentangan dengan Tita

Garisan Hipotenes ialah garisan yang bertentangan dengan sudut 90

Garisan Sebelah, ialah garisan bersebelahan dengan Tita





3. Penggunaan Formula




Jika nilai garisan yang diberi (maklumat dari soalan) menunjukkan seperti rajah di sebelah, iaitu mempunyai nilai bagi garisan Tentangan dan garisan Hipotenes. Maka, formula Sin akan digunakan.



Makulumat yang ada, nilai garisan Hipotenes dan S…

Apa Itu Hypothyroidism | Thyroid

Apa itu Hypothyroidism (hipotiroid) ? Hypothyroidism ialah satu keadaan dimana badan kekurangan hormon thyroid akibat daripada kelenjar thyroid (tiroid) yang kurang aktif.

Sedikit penerangan tentang bagaimana Hypothyroidism terjadi dan kaitannya dengan tumbesaran badan (metabolisma) Seperti yang kamu tahu, metabolisma ialah proses yang dilakukan oleh tubuh untuk mengubah apa yang kamu makan dan minum menjadi tenaga. Tenaga ini kemudiannya disalurkan ke seluruh badan samaada untuk pencernaan makanan, bergerak ataupun berehat.
Thyroid ialah satu kelenjar di bahagian halkum yang menggunakan iodine (umumnya berasal dari makanan misalnya laut dan garam) untuk menghasilkan 2 jenis hormon yang penting dalam metabolisma iaitu hormon thyroxine (T4) dan hormon triiodothyronine (T3). 
Bilangan hormon T4 dan T3 di dalam badan masing-masing ialah 99% dan 1%, tetapi hormon yang penting untuk badan ialah T3. Walaupun begitu, semasa di dalam badan, T4 akan ditukarkan menjadi T3 dari semasa ke semasa b…